Selamat Datang


Assalamualaikum...Selamat Datang ke blog saya...
Blog saya ini diwujudkan bukanlah sebagai alat pencernaan minda

jauh sekali sebagai pusat rujukan....
Namun atas dasar ingin berkongsi pengalaman dan maklumat,

maka wujudlah blog ini yang tidak seberapa adanya....
Maklumbalas dari pelawat-pelawat sekelian,

saya dahului dengan ucapan Terima Kasih....

73,
Wasallam
9w2YYB



.......................................

Radio Amateur Mengikut Persepsi Saya Sendiri

Radio Amateur atau HAM Radio merupakan salah satu cara komunikasi radio dua hala menggunakan radas tertentu dan frekuensi tertentu untuk berhubung baik semasa kecemasan, bencana dan malapetaka mahupun untuk mencari kenalan dan sembang-sembang di serata dunia selagi penggunaannya mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sesebuah negara.
Realitinya, sistem komunikasi yang agak kuno ini amat berguna apabila berlaku bencana dan kegagalan sistem komunikasi moden yang lain disamping keupayaannya untuk berhubung dengan para angkasawan yang mengelilingi orbit bumi.
Walau apapun tafsirannya, yang nyata; ke mana sahaja saya pergi, pasti akan ada rakan-rakan yang menanti dengan semangat persahabatan.


.....................................................

Isnin, 28 April 2008

Pradas Mega 4x4 Eyeball 2008





Sabtu, 26 April 2008, Deruman kenderaan 4x4 sekali lagi memecah kesunyian hutan simpan Kerling tatkala 250 ahli dan keluarga Pradas berkumpul dan berkhemah sempena Mega 4x4 Eyeball Pradas 2008.
Program itu juga bersempena dengan pelancaran repeater baru Pradas untuk menggantikan repeater yang telah lama menyumbangkan jasa dan telah dirasmikan oleh Y Bhg Dato’ Seri Talaat Hj. Husain selaku Penaung Pradas.
Kerjasama dari rakan-rakan 4x4 JibAuto 4x4 dan XKisah Adventure Team sekali lagi membuktikan semangat setia kawan mampu mengatasi segala kesukaran. Itulah semangat warga Ham yang sebenar.
Program yang lebih menumpukan kepada pendedahan peserta kepada suasana alam rimba ini juga turut diselitkan dengan aktiviti seperti sembahyang berjamaah, majlis Tahlil dan doa selamat juga tidak ketinggalan pertunjukan bunga api.
Walaupun ramai di antara peserta tidak memiliki kenderaan 4x4, tetapi mereka tidak ketinggalan untuk merasai pengalaman berharga ini dengan adanya perkhidmatan Teksi Hutan (tanpa bayaran) yang disediakan oleh rakan-rakan 4x4.
Keceriaan peserta terserlah apabila masing-masing seperti sebuah satu keluarga besar yang tidak lekang dari lawak-jenaka, hilai-ketawa dan usik-mengusik antara satu sama lain.
Untuk rakan-rakan yang terlibat secara lansung dan tidak lansung dengan program ini, sekalung tahniah saya hulurkan terutamanya kepada Pak Presiden, PRGE yang memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan program ini.

Jumaat, 25 April 2008

Kembara Merdeka 2007 ke Kerling.






Sabtu, 8 September 2007, bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan, JibAuto 4x4 dengan kerjasama rakan-rakan 4x4 lain dan kariah Masjid Al-Makmuriyah, Sungai Kayu Ara, Damansara, telah berjaya melaksanakan Program Kembara Merdeka 2007 ke Kerling.

Program yang julung kalinya melibatkan ahli keluarga kariah masjid itu bertujuan untuk mendedahkan peserta yang terdiri dari golongan warga emas dan remaja kepada aktiviti 4x4 dan pengalaman bermalam di dalam hutan.

Perjalanan konvoi peserta yang bermula dari Masjid Al-Makmuriyah itu bergerak di dalam barisan 30 buah kenderaan 4x4.

Selain dari aktiviti-aktiviti 4x4, memancing, mandi-manda dan santai, program ini juga turut di isi dengan majlis keagamaan seperti sembahyang berjamaah, tazkirah dan kuliah subuh.

*Sila klik untuk gambar selanjutnya.

Khamis, 24 April 2008

Konvoi JibAuto 4x4 bersama SCS ke Jerangkang.






Pada 21 May 2007, Satu konvoi 4x4 terdiri daripada warga JibAuto 4x4 dan SCS Sports & Communication bersama-sama dengan keluarga masing-masing telah menjelajah hutan Jerangkang selama 2 hari.

Hutan Jerangkang yang terletak di antara Maran dan Gambang, merupakan kawasan perkhelahan yang terkenal dengan menjanjikan suasana yang nyaman, dengan air terjunnya yang jernih dan sejuk.

Program yang lebih kepada bersifat kekeluargaan ini turut memberi peluang kepada penulis untuk mengenali alam Radio Amateur dengan kehadiran orang kuat SCS yang tidak keberatan berkongsi pengalaman dan pengatahuan.

Terima kasih kepada SC1GT, SC1WW, SC3FS, SC2XX, SC3XAZ, SC3XMZ dan yang lain-lain di atas kesudian memperkenalkan Radio Amateur kepada penulis.

Tidak lupa juga terima kasih kepada rakan-rakan dari JibAuto 4x4 kerana membantu memperkenalkan aktiviti 4x4 yang sebelum ini terlalu sukar untuk disertai penulis.

*Sila klik di sini untuk gambar seterusnya.

Projek Amal Ramadhan bersama XKisah Adventure Team






Pada 6hb Oktober 2007 lalu, telah tercatat satu peristiwa di bulan Ramadhan apabila sekumpulan anggota 4x4 dan keluarga masing-masing dari XKisah Adventure Team, JibAuto 4x4, Pradas dan SCS telah bergabung tenaga untuk menjayakan satu program kebajikan pengagihan zakat.

Konvoi yang diketuai oleh En. Hakasah selaku Presiden XKisah Adventure Team dan isteri telah bergerak membawa barangan sumbangan ahli dan orang ramai ke lokasi-lokasi sekitar Kuala Selangor, Sekinchan, Tanjong Karang dan Jeram.

Penerima zakat terbabit terdiri dari golongan kurang upaya, warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan golongan fakir miskin.

Walaupun peserta konvoi terpaksa berlapar seharian di bulan Ramadhan, tetapi Alhamdulillah matlamat asal konvoi berkenaan telah tercapai.

Kepada pihak-pihak yang terbabit baik penyumbang dan juga pengagih barangan, hanya Allah dapat membalas kebaikan sekelian.

Semoga kita akan dapat meneruskan aktiviti ini dengan pembabitan lebih ramai peserta di masa akan datang.

Selasa, 22 April 2008

Workshop JibAuto






Realitinya hari ini ramai pengguna-pengguna 4x4 dari jenama Jeep, tidak kira samada Cherokee mahupun Wrangler merasakan amat sukar untuk mendapatkan khidmat kepakaran penyelenggaraan kereta jenis ini. Ditambah lagi dengan cerita-cerita tentang 'high maintanance' membuatkan jenama ini hampir dipinggirkan dari senarai kereta yang dicari.
Tetapi bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta, sesiapa sahaja yang secara serius menjadi pengguna jenama ini pastinya sukar untuk beralih kepada jenama lain, biarpun di goda oleh kemunculan 4x4 fully modified menggunakan kuasa enjin turbo atau super charge.
Seperti menongkah arus seorang usahawan yang juga berpengalaman luas dalam bidang teknikal dan mekanikal perihal Jeep ini, En Md Najib Maruf (PRXE) telah berjaya membuka pusat servis Jib Auto Services yang terletak di No. 67, Blok E2, Jalan 1/18A, Taman Mastiara, Bt. 5, Off Jln. Ipoh, Kuala Lumpur.

Bermula dari penyelenggaraan asas Jeep sehinggalah ke peringkat 'fully modified', pusat servis ini sedia menerima dan melayan kehendak-kehendak pelanggan dengan bantuan khidmat nasihat dari En. Najib sendiri.

Bermula dari situlah dengan jaringan persahabatan antara pelanggan dan kumpulan mekanik Jib Auto, maka tertubuhlah JibAuto 4x4 secara tak rasmi yang mempunyai jaringan sekitar 50 orang penggila 4x4. Matlamat utama penubuhannya hanya satu, iaitu "Sama-sama beriadah menikmati keindahan hutan sambil membuat kebajikan". Tanpa mengira jenama apa yang digunakan, JibAuto 4x4 terus melebarkan jaringan persahabatan dan telah berberapa kali menganjurkan program berbentuk riadah dan kebajikan dengan jayanya.

Bagi pengguna-pengguna Jeep yang menghadapi masalah atau sesiapa yang bercadang untuk membeli 4x4 jenama Jeep, bolehlah mendapatkan khidmat nasihat En. Najib di talian 019-2739916.

*Penulis akan cuba memuatkan aktiviti-aktiviti JibAuto 4x4 yang telah lepas sedikit masa lagi.

Isnin, 21 April 2008

Perkahwinan Asyrani JipAuto 4x4


Pada 20hb April 2008 telah berlansung majlis perkahwinan sahabat HAM kita, En. Asyrani (PR-XH) yang juga merupakan ahli Jib Auto 4x4.

Majlis yang turut disertai konvoi rakan-rakan HAM, JibAuto 4x4 dan kumpulan bermotosikal Harley Davidsons itu berlansung dengan penuh keceriaan di Taman Koperasi Polis Fasa 1, Gombak.

*Gambar-gambar pada majlis tersebut akan disertakan dalam tempoh terdekat .

Rabu, 16 April 2008

'ROCK GARDEN' Dalam Kenangan...











Tiada ungkapan yang lebih sesuai, tiada istilah yang lebih mengharukan selain dari kekecewaan yang tergambar di kalangan rakan-rakan 4x4 tatkala melihat 'tempat bermain' dirata licin umpama Aceh diratakan Tsunami....


Begitulah yang terjadi kepada 'Rock Garden', Kerling yang baru-baru ini telah diambil alih oleh sebuah syarikat yang menurut ceritanya menjalankan kerja-kerja pembinaan Loji Takungan dan Bekalan Air di Selangor.


Sememangnya projek tersebut bakal memberi manfaat kepada rakyat Selangor tapi bagi penggemar-penggemar sukan lasak 4x4, motocross dan RTV, hilang sudah 'tempat bermain', tempat menguji kecekalan dan kekuatan fizikal dan mental, juga tempat menguji jentera modifikasi 4x4.


Tempat ini juga menjadi tumpuan warga kota yang ingin lari dari kesesakan dan kesibukan kota ke belantara yang mendamaikan dan mententeramkan jiwa.


Gambar di atas merupakan gambar terakhir penulis bersama-sama rakan 4x4 dari JibAuto, Puchong 4x4 dan kariah Masjid Kayu Ara sempena Program Mengisi Kemerdekaan pada 8 September 2007 yang lalu.


Semoga selepas ini akan diwujudkan lebih banyak lagi 'laluan-laluan ulat' 4x4 di sekitar belantara Selangor Darul Ehsan.

Selasa, 15 April 2008

Operasi Menyelamat di Gunung Nuang






Pada 13 April 2008 baru-baru ini, rakan-rakan radio amateur dan 4x4 telah di kejutkan oleh panggilan SOS oleh JPA3 tentang sekumpulan pendaki Gunung Nuang terdiri daripada 30-40 pelajar dan anggota JPA3 sendiri yang menghadapi kesukaran di puncak gunung tersebut. Gunung yang terletak di sempadan Hulu Langat dan Negeri Sembilan itu sememangnya menjadi medan ujian bagi mereka yang ingin menakluki puncak yang lebih mencabar.


Lebih mengejutkan lagi, apabila salah seorang dari anggota JPA3 telah cedera yang agak teruk akibat dipanah petir.


Misi menyelamat yang diketuai oleh JPA3 itu sendiri turut dibantu oleh pasukan Radio Amateur dan 4x4 terdiri daripada MARES, PAT, PRADAS, Astra, Xkisah Adventure Team dan Jib Auto.


Bermula jam 10.00 malam, pasukan pacuan empat roda terpaksa mengharungi laluan sukar untuk ke Base Camp ke-2 kerana laluan ke puncak tidak dapat di lalui oleh sebarang kenderaan.

Dari Base Camp ke-2, pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki untuk ke lokasi kejadian yang terletak di atas puncak Gunung Nuang dan mengambil masa lebih kurang 4 jam perjalanan.


Mulai jam 11.00 pagi, 14 April 2008 barulah kesemua pendaki selamat sampai ke Base Camp dan anggota JPA3 yang tercedera telah dihantar ke Hospital dengan selamat.

Rabu, 9 April 2008

RAE 2008-1

The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) has announced that the 1st Radio Amateur Examination (RAE) for this year, which will be held on the Tuesday, 24th June 2008. Exams will start at 2PM.
RAE 2008-1

Mega Eyeball dan AGM PRADAS 2008, Kem Tekali, Hulu Langat, Selangor, Malaysia.





Program tahunan rakan-rakan Ham dari Persatuan Peminat Komunikasi Radio Dua Hala Selangor, PRADAS ini telah berlansung dengan jayanya pada Sabtu dan Ahad, 5 dan 6 April 2008 baru-baru ini.



Selain dari pemegang Callsign PRADAS, turut serta adalah keluarga masing-masing dan tak kurang pula rakan-rakan bukan ahli PRADAS yang sekadar ingin melihat dan berkenal-kenalan dengan dengan warga PRADAS.



Program Eyebal bermula pada hari Sabtu dengan aktiviti-aktiviti santai.



Pada sebelah awal malamnya pula aktiviti-aktiviti kerohanian di Surau Kem Tekali mengambil tempat. Diikuti kemudian dengan aktiviti-aktiviti 'memecah kesunyian malam' iaitu pertandingan karaoke...Tahniah PROT selaku juara Suara Paling Lunak...



Keadaan berubah pada hari Ahad apabila AGM atau Mesyuarat Agung Tahunan PRADAS berlansung dalam suasana 'keseriusan' tapi ceria.