Selamat Datang


Assalamualaikum...Selamat Datang ke blog saya...
Blog saya ini diwujudkan bukanlah sebagai alat pencernaan minda

jauh sekali sebagai pusat rujukan....
Namun atas dasar ingin berkongsi pengalaman dan maklumat,

maka wujudlah blog ini yang tidak seberapa adanya....
Maklumbalas dari pelawat-pelawat sekelian,

saya dahului dengan ucapan Terima Kasih....

73,
Wasallam
9w2YYB



.......................................

Radio Amateur Mengikut Persepsi Saya Sendiri

Radio Amateur atau HAM Radio merupakan salah satu cara komunikasi radio dua hala menggunakan radas tertentu dan frekuensi tertentu untuk berhubung baik semasa kecemasan, bencana dan malapetaka mahupun untuk mencari kenalan dan sembang-sembang di serata dunia selagi penggunaannya mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sesebuah negara.
Realitinya, sistem komunikasi yang agak kuno ini amat berguna apabila berlaku bencana dan kegagalan sistem komunikasi moden yang lain disamping keupayaannya untuk berhubung dengan para angkasawan yang mengelilingi orbit bumi.
Walau apapun tafsirannya, yang nyata; ke mana sahaja saya pergi, pasti akan ada rakan-rakan yang menanti dengan semangat persahabatan.


.....................................................

Isnin, 28 Julai 2008

Eyeball SCS - Lokalan Rawang







Pada 26hb Julai 2008 baru-baru ini telah berlansung satu Eyeball SCS di Kolam Pancing Bai World, Bandar Tasik Puteri, Rawang yang di anjurkan oleh ahli-ahli SCS lokalan Rawang.
Majlis yang bermula selepas Maghrib itu dihadiri oleh dua orang kuat SCS iaitu SC1 GT, Abang Shah dan SC1LE, Lex.
Konsep kekeluargaan yang ditunjukkan oleh anggota SCS tersebut telah di manifestasikan dengan kehadiran xyl-xyl dan harmonik masing-masing.
Di samping jamuan makan "Ikan Siakap" para hadirin juga turut dihiburakan dengan persembahan karaoke.
Majlis yang berakhir jam 1.00 pagi itu telah merapatkan kembali hubungan antara warga SCS dan khabarnya ada yang melanjutkan 'Tanggo-tanggo' sehingga jam 3.00 pagi.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada SC3-GZ, Cikgu Ghazali dan isteri yang bertungkus-lumus menyediakan makanan dan tapak majlis.
Terimakasih juga kepada 3 rakan dari PRADAS yang sudi menyahut jemputan kami iaitu PR-OT; Rudi, PR-OZ; Feroz dan PR-IN, Pak Rahim.
Semoga hubungan dan tali sirraturRahim antara kita rakan-rakan HAM akan bertambah erat.

Jumaat, 25 Julai 2008

Eyeball SCS - Lokalan Rawang

Dengan ini adalah dijemput semua ahli SCS untuk bersama-sama memeriahkan Eyeball yang akan diadakan seperti berikut:



Tarikh : Sabtu malam Ahad 26hb Julai 2008

Masa : Lepas Maghrib

Tempat : Kolam Pancing Bai World, Bandar Tasik Puteri,

Rawang, Selangor.



*Bagi mereka yang mempunyai suara emas, karaoke juga ada disediakan.

Datang jom....Jangan tak datang.

Khamis, 24 Julai 2008

KEJOHANAN BOWLING PRADAS 2008


17hb Ogos 2008 (Ahad)
9.00 am
U-Bowl, One Utama,
Bandar Utama, Selangor

Tujuan kejohanan ini diadakan adalah untuk menggalakkan lebih ramai ahli menyertai permainan bowling dan untuk mengeratkan silaturrahim sesama ahli Pradas. Diharap kejohanan ini akan menjadi Kejohanan Bowling Tahunan bagi Persatuan Pradas.

Syarat Penyertaan :

Terbuka kepada semua warga PRADAS lelaki dan wanita. Pemain berkumpulan terdiri daripada 4 org ahli Pradas ; atau 3 org ahli Pradas bersama seorang bukan ahli.
Penyertaan secara berkumpulan dengan yuran penyertaan sebanyak RM200.00 (RM50 seorang).
Cabutan undi akan dibuat kepada individu yang tidak mempunyai kumpulan.
Borang dan peraturan permainan lengkap boleh didapati daripada AJK kecil kejohanan. Hanya borang asal sahaja diterima. Salinan fotostat tidak akan diterima.
Bayaran penyertaan boleh dibayar secara terus kepada AJK kecil sebelum atau pada tarikh akhir pendaftaran.
Tarikh tutup penyertaan adalah sebelum atau pada 31hb Julai 2008.


HADIAH WANG TUNAI DISEDIAKAN UNTUK KATEGORI KUMPULAN

Sebarang pertanyaan sila hubungi :

Paklang (PR-OB) 013-3451245
Paklong (PR-LH) 019-3927753
Azza (PR-QQ) 012-2088697
Mai (PR-QZ) 012-3017875




PERATURAN KEJOHANAN BOWLING PRADAS 2008

1. TARIKH DAN MASA PERTANDINGAN

17hb Ogos 2008 (Ahad) 9.00am
(Pendaftaran pemain bermula 9.00 pagi)

2. TEMPAT PERTANDINGAN

U-Bowl, One Utama, Bandar Utama, Selangor

3. YURAN PENYERTAAN

RM200 satu kumpulan (RM 50.00 seorang)

4. KELEWATAN DAN MENARIK DIRI

Pemain yang lewat lima belas (15) minit daripada masa pertandingan bermula akan dianggap memberi kemenangan tanpa bertanding, kecuali dengan alasan yang munasabah.
Menarik diri (walk-over) sama sekali tidak dibenarkan. Jika ianya berlaku, bayaran pendaftaran yang telah dibuat oleh pemain yang menarik diri itu tidak akan dikembalikan.
Pemain boleh menukar dengan memaklumkan kepada urus setia selewatnya 31 Julai 2008.

5. PENGESAHAN KEPUTUSAN

Keputusan permainan akan diperoleh dari cetakan komputer yang akan dikendalikan oleh pusat bowling.

6. GANGGUAN PERMAINAN

Pengurus Pertandingan mempunyai kuasa muktamad untuk membuat arahan supaya permainan yang terganggu disambung pada lorong baru sekiranya berlaku kerosakan pada mesin. Permainan hendaklah di sambung dari frame di mana gangguan itu berlaku.
Sekiranya berlaku “black out” dalam TV monitor di mana skor sesuatu permainan sedang berlangsung hilang dan tidak dapat dipulihkan. Maka peserta-peserta berkenaan di kehendaki bermain semula game tersebut. Akan tetapi jika skor telah dicatatkan maka ia akan bersambung dari frame di mana ia berhenti sebelum ini.
Pemain adalah dilarang dari mengganggu permainan pasukan lain.



7. MEMPERLAHAN PERMAINAN

Seseorang pemain yang bersedia untuk membaling bolanya harus mengetahui tentang hak dan obligasinya seperti berikut:-
Pemain berhak untuk bermain terlebih dahulu (right of way) terhadap pemain yang berada di atas lorong sebelah kirinya.
Pemain harus memberi laluan kepada pemain yang berada di atas lorong di sebelah kanannya.
Semua pemain harus bersedia untuk bermain bila sampai gilirannya dan tidak boleh melambatkan permainan itu.


8. TATATERTIB

Semua pemain dikehendaki menyertainya dengan penuh semangat kesukanan dan muhibah, di samping menghormati dan mematuhi segala Undang-undang dan Peraturan yang ditentukan.

9. BANTAHAN / RAYUAN

Semua bantahan / rayuan hendaklah dikemukakan secara bertulis oleh pemain yang berdaftar sahaja kepada Pengurus Pertandingan tidak lewat daripada 15 minit selepas tamat perlawanan berkaitan.
Setiap bantahan / rayuan hendaklah disertakan dengan wang tunai sebanyak RM50.00 (Ringgit Malaysia : Lima Puluh Sahaja)
Wang bantahan ini akan luput bantahan/ rayuan dikemukakan itu didapati tidak wajar.


10. PENUTUP

Program ini merupakan pendokong segala usaha kerajaan bagi melahirkan generasi yang mampan bagi menyahut cabaran globalisasi semasa, berdaya saing di pasaran global disamping menyemarakkan semangat silaturahim di kalangan ahli-ahli PRADAS memupuk budaya bersatu-padu dan mengasah bakat pemikiran bagi melahirkan generasi yang proaktif.



LAMPIRAN 1

Tentatif program

9.00 pg : Pendaftaran peserta
9.45 pg : Ketibaan tetamu kehormat
10.00 pg : Ucapan alu-aluan Presiden dan Perasmian
10.30 pg : Pertandingan Bermula
1.00 ptg : Pertandingan tamat
1.30 ptg : Acara penyampaian hadiah
2.30 ptg : Bersurai

Selasa, 22 Julai 2008

Redah 4x4 Club ke Lata Berembun, Raub.






* Sila klik di sini untuk gambar seterusnya.



Pada 18hb Julai 2008, sekitar jam 10.00 malam sebuah konvoi sebanyak 15 buah kenderaan 4x4 telah bergerak dari stesen minyak sebelum tol Gombak menuju ke lokasi perkhemahan Lata Berembun, Raub, Pahang.

Aktiviti sulong buat Kelab 4x4 Redah ini, turut disertai oleh rakan-rakan dari JibAuto 4x4, PRADAS dan keluarga masing-masing.

Setelah mengharungi perjalanan yang jauh dengan cabaran mendaki cerunan dan meredah laluan hutan yang berliku-liku, akhirnya pada pukul 2.00 pagi, 19hb Julai 2008, konvoi telah selamat sampai ke tapak perkhemahan dan disambut oleh sekitar 15 peserta yang bertolak lebih awal.

Program 4x4 pada kali ini menempuh pelbagai cabaran yang tidak dijangka seperti pacuan 4x4 rosak, hujan, khemah dibanjiri air dan kawasan perkhemahan yang terhad.

Namun semangat yang ditunjukkan oleh peserta-peserta, terutamanya peserta yang baru pertama kali melalui pengalaman meredah hutan menggunakan kenderaan 4x4, amat-amat memberansangkan.

Hutan yang senyap sunyi dan jauh dari penempatan penduduk ini, menjadi gempak-gempita dengan aktiviti-aktiviti peserta terutamanya kanak-kanak.

Buat pertama kalinya juga program kali ini turut disertai oleh dua rakan OKU yang cacat penglihatan iaitu PR-MFA, Mohd Faiz dan rakan sekerjanya, Abang Zul.

Lata Berembun merupakan sebuah lokasi perlancongan yang sememangnya menjanjikan suasana yang berlainan dari tempat lain, di mana air terjunnya sentiasa memercikkan kabus bersama deruan angin yang begitu menyejukkan.

Ahad, 20hb Julai 2008, jam 1.00 petang, peserta konvoi terpaksa meninggalkan lokasi menarik ini untuk pulang dan sekali lagi cabaran menuruni laluan berliku di sebelah gaung yang teramat dalam, menjadi lebih sukar apabila terpaksa berselisih dengan ’teksi hutan’ yang membawa pelancong untuk ke lokasi yang sama.

Konvoi yang mengumpulkan hampir kesemua peserta kemudiannya bergerak ke Semantan, Temerloh, Pahang dengan barisan 35 buah 4x4 untuk menyahut pelawaan tuan rumah (rakan kepada Abg Zul, PR-XJ) untuk acara ‘makan ikan bakar’.

Kesempatan ini digunakan untuk bertemu dengan rakan Ham dari Temerloh iaitu PR-SYA, Aisyah dan suaminya PR-AZN, Shaha Azuan (9W2SZA)

Konvoi seterusnya bergerak semula ke Kuala Lumpur jam 8.45 malam dan berpecah ke lokalan masing-masing di tol Gombak.

Tahniah kepada kesemua peserta. Semoga jalinan persahabatan dan persaudaraan antara kita akan berterusan hingga bila-bila.

Khamis, 17 Julai 2008

Mesyuarat Agong Pertama Redah 4x4 Club











Setelah sekian lama bergelumang dengan kerenah proses pendaftarannya, yang akhirnya diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 19hb Jun 2008, maka pada jam 9.30 malam 16hb Julai 2008 telah berlansung Mesyuarat Agong Pertama Redah 4x4 Club Kuala Lumpur & Selangor yang menyaksikan kehadiran ahli-ahli lama dan baru dari XKisah Adventure Team.

Secara rasminya juga kelab lama, iaitu XKisah AT telah dibubarkan dan didaftarkan semula sebagai sebuah syarikat.

Kesemua dana dari XKisah AT telah dipindahkan ke Redah 4x4 Club yang lebih teratur pentadbirannya.

Berikut adalah keputusan perlantikan jawatan kuasa sulong Redah 4x4 Club;


Presiden : En. Zulni (9W2XMZ)

Naib Presiden : En Roedy (9W2RDY)

Setiausaha : Mejar (B) Shamsuddin (9W2MBS)

Penolong S/U : Yunus (9W2YYB)

Bendahari : En. Najib (JibAuto)


AJK:

1. En. Ali Jupri (Pak Binuang)

2. Mejar (B) Zakaria (9W2SGE)

3. En. Shahril (9W2RES)

4. En. Irham (PR-XG)

5. En. Hakasah (XKisah AT)


Penyimpan Kira-kira:

1. En. Amirudin (9W2BIG)

2. Puan Ayang (XKisah AT)


Kepada yang terpilih untuk memikul tanggungjawab, sekalung tahniah diucapkan.

Semoga Kelab ini akan menjadi wadah memperkukuhkan persaudaraan dan hubungan diantara peminat-peminat 4x4.

Selasa, 15 Julai 2008

Kumpulan Kompang PRADAS?





Pada 12hb Julai 2008 tempohari, terciptalah sejarah bagi PRADAS apabila buat pertama kalinya satu sesi latihan kompang telah berlansung dengan jayanya.

Diwar-warkan juga kumpulan ini bakal menjadi salah satu daripada cabang aktiviti dalam PRADAS yang keahliannya juga sudah melabihi 1000 orang.

Semoga segala aktiviti-aktiviti yang sihat ini akan lebih merapatkan hubungan silaturRahim antara insan amnya dan rakan-rakan Ham khasnya.

Selamat Berjaya.

Expedisi 4x4 ke Lata Berembun





Gambar di atas hanya sekadar pembakar semangat. Tiada kena mengena dengan lokasi yang lebih mencabar yang bakal ditempuhi.




"Mengecas Lagi"...Persatuan Peminat Komunikasi Radio Dua Hala Selangor (PRADAS) sekali lagi akan bekerjasama dengan JibAuto 4x4 untuk mengadakan Expedisi 4x4 ke Lata Berembun, Raub, Pahang pada 18,19 dan 20 hb Julai 2008 ini.

Setelah menceduk pengalaman bersama-sama di Ulu Slim tempohari, peserta-peserta Expedisi dari PRADAS nampaknya semakin garang dan penuh yakin untuk menyahut cabaran kembara di dalam hutan kali ini.

Expedisi kali ini akan memperlihatkan kemunculan muka-muka baru dengan 4x4 yang baru dibeli masing-masing.

Semoga program ini akan berjalan lancar dan nantikanlah laporan bergambar dalam masa terdekat ini.....

73.

Selasa, 8 Julai 2008

Selasa, 1 Julai 2008

Cinta Itu Buta






Saya terpanggil untuk menulis serba sedikit cerita tentang seorang insan bernama Mohd Faisal b. Johan, 38 (bukan rakan HAM) yang dapat kita sama-sama jadikan pedoman.

Insan ini seperti kita juga lahir dengan serba sempurna dalam keluarga yang agak sederhana di Batu 14 Hulu Langat, di anugerahkan Allah cukup segala sifat fizikalnya.

Anak bongsu ini membesar menjadi remaja dan mengharungi suka-duka seperti mana anak-anak remaja lain sehinggalah pada suatu masa dengan segala kekuasaan Allah yang Maha Mengatahui, diambilNya semula nikmat penglihatan tatkala beliau berusia 24 tahun.

Mohd Faisal telah mengalami kemalangan motosikal semasa pulang dari tempat kerja dan dalam sekelip mata sahaja di situlah penglihatan terakhir beliau untuk selama-lamanya.

Diceritakan juga, pada peringkat awalnya beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah menjadi buta, namun berkat nasihat ibu bapa, adik-beradik dan Rahmat dari Allah, beliau mengorak langkah memulakan hidup barunya sebagai seorang yang cacat penglihatan.

Bagi memenuhi fitrah hidupnya beliau terpaksa mencari jalan untuk terus berjuang dengan cara yang beliau sendiri memahaminya.

Berkat kesungguhan belajar dengan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, beliau sekarang sudah dikenali sebagai "Tukang Urut" untuk mencari sesuap nasi tanpa mengharapkan ehsan dari masyarakat.

Benarlah, segala-galanya dalam ketentuan Allah Taala. Pada hari ini setelah lebih 12 tahun peristiwa itu berlaku, beliau sekarang sudah menjadi seorang suami kepada pasangannya yang sempurna (tidak cacat penglihatan) bernama Shariefah Zabibi Bt. Zalihan.

Saya sempat hadir di Majlis Menyambut Menantu di rumah ibu Mohd Faisal di Hulu Langat setelah mendapat undangan dari abang beliau yang juga teman satu ofis saya.

Bak kata orang...'Cinta Itu Buta'....Sanggup rasanya saya tabik spring kepada isteri beliau yang tidak menilai cinta melalui fizikal. Semoga rumahtangga beliau sentiasa diRahmati Allah dan kekal hingga ke anak cucu...

Untuk warga HAM....tak ada ke yang sanggup sponsor beliau menjadi rakan radio...supaya kita dapat mendengar suaranya berkumandang di udara.

Wallahualam....

Soft Reminder - Mega Eyeball Morib

TARIKH : 05 & 06 JULAI 2008 (SABTU & AHAD)
LOKASI : PANTAI MORIB
AKTIVITI : CAMPING, BBQ, DXing, INTRODUCTION TO FOX HUNTING, FREE & EASY
BAYARAN : RM10 PER PAX (Bayaran ini adalah untuk seafood BBQ)CALLING CHANNEL : V40 (145.500 MHz)
Pengawal Trafik Udara :9W2OO Pak Maarof